Tip-tip untuk semua
KURMA BAIK UNTUK KESIHATAN JANTUNG
Dipercayai kurma berasal dari kawasan Teluk Parsi atau Mesopotamia. Namun kini kurma telah dikelaskan sebagai salah satu tanaman standard dalam pertanian dunia dan telah banyak ditanam di Arab Saudi, Mesir, Iran, Irag, Sepanyol.
Terdapat lebih daripada 600 jenis kultivar kurma. Setiap negara mempunyai kurma pilihan masing-masing. Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menyukai Khalas, namun jenis Zaghloul, Khuneizi, Hilali, Howaiz, Naghal dan Jaberi Fardh mempunyai pengikut masing-masing. Buah ini mempunyai pelbagai warna, rasa, kemanisan, keasidan dan tekstur.
Jenis popular yang diimport, selalunya dari Maghribi adalah Majool. Iraq menggemari jenis seperti Amir Hajj dan Ashrashi, Mesir pula menyukai Saidy dan Hayany. Manakala Algeria pula amat gemar dengan jenis Deglet Noor dan Thoory. Negara Oman pula menggemari Ruzeiz, Bukeria, Nebut, Seif dan Barhi.
Nilai pemakanan
Kurma mempunyai nilai pemakanan yang tinggi. Buah ini membekalkan gula asli di dalam bentuk glukosa dan fruktosa. Gula ini yang lebih baik daripada gula tebu.
Kurma kering umumnya mengandungi;
60% zat gula,
2.5% zat minyak dan
33% garam.
Kurma juga mengandungi protein dan pelbagai vitamin seperti vitamin A, B1, B2 dan C, termasuk zat besi, kapur, fosforus, belerang, kalium, magnesium, kalsium, mangaan dan tembaga. Kurma juga merupakan jenis makanan berserat tinggi.
Kurma ini selalunya dimakan dalam bentuk mentah atau bersama susu. Di Sahara, orang kaya memakan buah ini bersama mentega dengan cara membuang biji dan sapukan bahagian dalam dengan mentega. Ini adalah cara saintifik untuk mengeluarkan lemak.
Selain itu, kurma juga dimakan dalam pelbagai cara. Biji kurma dipanggang dan ditumbuk menjadi serbuk kopi yang dipanggil kopi kurma. Kurma juga boleh dijadikan jus.
Kegunaan dan kebaikan
Kurma amat bernilai sebagai ubat berikutan kesan tonik yang terdapat di dalamnya. Mudah dihadamkan, kurma amat penting untuk memberi tenaga dan membaiki bahan buang. Susu yang diperoleh dari kurma yang direbus adalah sungguh berkhasiat dan menjadi minuman pada kanak-kanak dan orang dewasa, terutamanya ketika proses pemulihan sakit.
Kurma adalah makanan pencuci perut (julat). Ia berkhasiat tinggi dalam rawatan sembelit di mana bahan-bahan kasar yang diperoleh daripadanya merangsang pergerakan usus yang perlahan. Buah ini hendaklah direndamkan di dalam air pada waktu malam dan dimakan selepas dijadikan sirap pada keesokan harinya. Ini bagi memastikan keberkesanan kesan julap yang terdapat di dalamnya.
Kurma juga adalah ramuan terbaik bagi jantung yang lemah. Buah yang telah direndam di dalam air semalaman dan dihancurkan di dalam air yang sama pada waktu pagi selepas dibuang biji, hendaklah diambil sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Ramuan ini dikatakan mampu menguatkan jantung.
Kurma juga mempunyai kebaikan yang tinggi dalam rawatan kelemahan seks. Menurut Dr. Aman, di dalam buku Medicinal Secret of Your Food, segenggam kurma yang telah direndam di dalam susu kambing segar semalaman haruslah dikisar di dalam susu itu pada keesokan harinya. Secubit serbuk buah pelaga dan madu harus ditambah di dalam sediaan ini. Dikatakan ramuan ini mampu menjadi tonik yang dapat meningkatkan stamina seks dan kemandulan berkaitan dengan penyakit kurang berfungsi.
Menurut Dr. Aman lagi, sebiji kurma yang diikat di pergelangan tangan bayi dan membiarkan buah tersebut dihisap olehnya ketika waktu tumbuh gigi juga dalam mengeraskan gusi dan menghalang sebarang masalah seperti kegelisahan dan cirit birit dan disenteri semasa tumbuh gigi. Ramuan ini harus diberi tiga kali sehari.
Dalam bidang perubatan dengan ketiadaan kolesterol, lemak dan gula di dalam kurma, ia amat baik untuk meredakan tekanan darah tinggi.
===============================
Kurma adalah sejenis tumbuhan (Palma) atau dikenali dalam bahasa saintifiknya sebagai Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau yang mentah.
Kebanyakan pokok kurma tumbuh di negara-negara Arab dan mempunyai berbagai-bagai jenis. Antara kurma yang terkenal ialah kurma Mekkah dan Madinah yang dikatakan mempunyai berpuluh-puluh jenis. Dikalangan penduduk di negara-negara Arab kurma adalah makanan utama mereka, malah dikalangan orang kita juga kurma sudah menjadi bahan makanan yang digemari. Selain rasanya yang manis dan tahan lama serta tidak perlu dimasak, kurma juga mempunyai khasiat yang banyak dan menjadi makanan utama Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya : "Aku melihat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam memakan buah-buahan dengan kurma masak.
Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam telah menyebutkan tentang khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud :
"Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : "Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu".
Khasiat kurma "Ajwah" sebagaimana yang tersebut di dalam hadis di atas merupakan satu kelebihan yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala sesuai dengan kemuliannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.
Terdapat juga di dalam al-Qur’an ayat yang menyatakan tentang kelebihan buah kurma ini, yang dialami oleh Sayydatuna Maryam ketika beliau mengandung Nabi Isa ‘Alaihi Salam sebagaimana tersebut di dalam surah Maryam ayat 25 :
Tafsirnya : "Dan gocangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak.
Ayat di atas menjelaskan tentang khasiat buah kurma kepada kaum wanita yang sedang dalam nifas, bila mana Allah memerintahkan Maryam memakannya sedang beliau dalam keadaan lemah selepas bersalin.
Penemuan kajian sains tentang khasiat buah kurma yang kaya dengan unzur zat besi dan kalsium telah membuktikan bahawa perubatan cara Islam yang terkandung di dalam al-Qur’an dan hadis Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bukanlah jenis perubatan yang semata-mata sesuai dengan keadaan iklim masyarakat Arab sahaja atau sudah ketinggalan zaman, tetapi ia adalah perubatan yang diiktiraf oleh dunia antarabangsa. Malah ia lebih baik daripada ubat-ubatan moden yang menggunakan berbagai campuran dadah yang boleh mengakibatkan kesan sampingan yang lain.
Unsur zat besi dan kalsium yang terdapat di dalam buah kurma adalah unsur yang paling tinggi bagi membentuk susu ibu. Bagi Ibu-ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, maka dengan memakannya dapat menggalakkan pertambahan kandungan susu.
Ianya juga berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak damit dan pembentukan darah dan sumsum tulang. Antara kajian lain yang dijalankan membuktikan bahawa kurma antara makanan yang paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga. Kurma tersebut akan segera dibakar dan ia akan disalurkan ke bahagian anggota lain dan otak.
Berdasarkan ini juga Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam menganjurkan kita supaya berbuka puasa dengan buah kurma sebagaimana sabdanya daripada Anas bermaksud :
"Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terpadat kurma, maka Baginda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa terguk air.
(Hadis riwayat Ahmad)
Sehubungan dengan hadis ini ada beberapa hadis lain yang menganjurkan agar kita berbuka puasa dengan kurma. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, beliau berkata : "Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasalla berbuka dengan kurma dan barangsiapa yang tidak mendapatkannya maka hendaklah ia berbuka dengan air kerana sesungguhnya air itu pembersih.
Antara hadis lain yang menyatakan kelebihan buah kurma :
Maksudnya : Daripada Adiy bin Hatim, ia berkata : "Saya mendengar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda : "Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma.
- Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun dengan hanya kita bersedekah sebelah buah kurma kita terhindar daripada api neraka.
Jadi bagi orang-orang yang mementingkan kesihatan mereka agar sentiasa dapat dijaga dengan baik, buah kurma adalah amat sesuai dijadikan sebagai salah satu makanan harian mereka khususnya di waktu pagi sebelum memulakan sebarang tugas harian. Khasiat kurma juga adalah sesuai dan baik bagi pertumbuhan kanak-kanak.
Mudah-mudahan dengan amalan memakan kurma yang berterusan, kita terhindar daripada berbagai kemungkinan dan dapat meneruskan tugas harian serta beribadat kepada Allah Subhanahu Wata’ala.
===============================
Khasiat Buah Kurma
1. Kesihatan
A. Mencegah Penyakit Kronik Seperti Penyakit Jantung & Kencing Manis
Berdasarkan kajian Prof. Madya Asiah Zain, Pensyarah Sains Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Bioteknologi, Universti Putra Malaysia (UPM) menyatakan “Dari segi perubatan, amalan memakan kurma setiap hari boleh mengurangkan rsiko seseorang itu diserang penyakit kronik seperti jantung dan kencing manis kerana mengandungi zat galian seperti potasium, kalsium dan zat besi yang boleh menyihatkan sel darah merah”. (BERITA HARIAN, SELASA, 20 FEBRUARI, 2001)
B. Merangsang Dan Memudahkan Kehamilan.
Prof. Madya Asiah juga berkata buah kurma mampu memanaskan badan dan merangsang keshatan wanita hamil dan anak yang dikandung, memudahkan wanita bersalin dan memberi tenaga.
C. Membunuh Kuman Dalam Badan.
Saidina Ali r.a. meriwayatkan “Barangsiapa yang memakan 7 butir tamar setiap hari, ia akan membunuh semua kuman di dalam badannya”.
2. Kecerdasan Dan Kecergasan
A. Kecerdasan Minda Dan Membantu Proses Tumbesaran.
Menurut Prof. Madya Asiah lagi, kanak-kanak digalakkan memakan lebih banyak buah kurma kerana ia memberi khasiat dari segi proses pembesaran, sekaligus membentuk minda kanak-kanak yang sihat.
B. Tenaga Segera
Maksud Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Maryam: Ayat 25-26: “Dan goyangkanlah pangkal pohon kurma itu ke arahmu, nescaya pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadamu, maka makan serta minumlah dan bersenang hatilah kamu”.
Kurma mampu membekal tenaga dengan pantas ke dalam tubuh mereka yang memakannya. Maka dengan itu Allah s.w.t. menyuruh Saidatina Maryam memakan buah kurma agar beliau mendapat bekalan tenaga untuk melahirkan Nabi Isa a.s., kerana kehilangan tenaga dan darah yang banyak.
3. Keperibadian.
Membentuk Sifat Penyabar, Bersopan Santun Dan Cerdas Pemikiran.
Maksud Hadis Rasulullah s.a.w. : “Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya”.
“Melentur buluh biar dari rebungnya”. Islam mengajar kita mendidik anak sejak dari dalam kandungan ibu agar anak yang bakal dilahirkan itu dibentuk mengikut rohaniah yang suci serta memiliki tubuh badan yang sihat dan minda yang cerdas. Buah kurma merupakan makanan yang mampu membentuk insan yang berperibadi luhur. Seorang pelatih dari Universiti Sains Malaysia (USM) menulis tentang hadis ini dalam majalah Mingguan Wanita.
4. Keberkatan
A. Mengambil Keberkatan Sewaktu Kelahiran.
Diriwayatkan daripada Abu Musa r.a. katanya;
“Anakku lahir, lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w. lalu baginda menamakannya dengan nama Ibrahim dan meletakkan pada lelangitnya dengan buah kurma”.
B. Makanan Yang Paling Sempurna.
Maksud Sabda Rasulullah s.a.w. : “Rumah yang tiada kurma nescaya penghuninya kelaparan”.
Dengan sebab itulah Prof. Madya Asiah menyatakan lagi “Pengambilan buah kurma itu tidaklah sekadar penting pada bulan puasa atau ketika seseorang itu sedang berpuasa, sebaliknya memakan kurma wajar dijadikan amalan harian”.
No comments:
Post a Comment